fbpx
Mohd. Shuhaily beramah mesra dengan warga AKPS selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah AKPS Tahun 2026 di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

‘Counter setting’ masih jadi cabaran AKPS di pintu masuk negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengakui belum dapat mengekang sepenuhnya aktiviti ‘counter setting’ yang berlaku di pintu masuk negara.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ia berikutan pihaknya masih menerima risikan dan aduan mengenai kegiatan itu, namun sukar dibanteras kerana tiada bukti kukuh.

“Yang pasti, senarai mereka yang terlibat dalam ‘counter setting’ ataupun ‘flying passport’ ini masih belum menemui titik noktahnya.

“Percayalah bahawa saya dan pucuk pimpinan kementerian tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan keselamatan negara,” katanya ketika berucap pada majlis amanat tahun baharu AKPS di sini hari ini.

Katanya, beliau mengakui aktiviti telah berlaku sejak sekian lama, malah boleh dikatakan ia sudah diamalkan sebagai satu budaya.

Mohd. Shuhaily berkata, kegiatan itu asalnya bermula sebagai tanda budi yang kemudiannya menjadi kebiasaan dan daripada kebiasaan itu akhirnya menjadi kebergantungan.

“Sejak saya masuk polis pun kita dah tangkap berapa ramai orang dan ia masih lagi berlaku. Jadi, ia sudah sekian lama dan sudah menjadi satu budaya.

“Apabila sesuatu itu telah menjadi kebergantungan dalam kehidupan seseorang, untuk mengarahkan individu tersebut mengubah cara hidupnya bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN