WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengumumkan beliau mencapai perjanjian perdagangan dengan Perdana Menteri Narendra Modi, di mana Amerika Syarikat(AS) akan menurunkan tarif ke atas barangan India kepada 18 peratus berbanding 25 peratus, lapor Perbadanan Penyiaran British semalam.
Dalam hantaran di laman Truth Social, Trump berkata, India akan mengurangkan halangan perdagangan kepada sifar dan juga berhenti membeli minyak Russia.
Trump berkata, denda berupa tarif tambahan 25 peratus yang dikenakan kerana keengganan Delhi untuk berhenti membeli minyak dari Russia akan digugurkan.
Modi pula memberitahu di laman X bahawa beliau gembira kerana persetujuan dengan AS telah dicapai.
Dalam hantaran tersebut, Trump berkata, beliau mengadakan panggilan telefon waktu pagi dengan Modi termasuk berbincang mengenai perdagangan dan perang Russia-Ukraine.
“Modi bersetuju untuk berhenti membeli minyak Russia, serta untuk membeli lebih banyak minyak dari Amerika Syarikat dan berpotensi, Venezuela,” kata Trump.
Menurutnya, atas permintaan Modi, beliau segera ‘bersetuju dengan perjanjian perdagangan’ yang akan menyaksikan tarif diturunkan dan halangan bukan tarif India dikurangkan kepada sifar.
Tambah Trump, Modi juga berjanji untuk membeli barangan Amerika bernilai lebih AS$500 bilion (RM1.9 trilion) termasuk produk tenaga, teknologi, pertanian dan arang batu. – AGENSI














