LANGKAWI – Fenomena beting pasir yang terhasil setiap tahun di Pantai Tanjung Rhu, di sini susulan air surut penuh turut menarik perhatian pelancong luar negara.
Tinjauan di pantai itu mendapati orang ramai mula tiba di pantai seawal 5.30 pagi, walaupun mereka hanya turun berjalan di atas beting pasir tersebut bermula 6.30 pagi tadi.
Seorang pelancong dari United Kingdom, Juhi Smith, 26, berkata, dia mendapat maklumat mengenai fenomena ini daripada pemandu e-hailing dan pihak hotel yang diduduki apabila dia tiba di sini malam tadi.
“Kami bangun seawal 5.30 pagi bagi melihat fenomena ini, dan dapat melihat banyak hidupan laut seperti ketam, udang, dan pelbagai lagi yang kami tidak pernah jumpa di tempat lain. Hari ini juga ibarat hari pertama kami berada di Langkawi, dan ini adalah permulaan percutian yang tidak boleh dilupakan,” ujarnya
Sementara itu, seorang pelancong dari Australia, Maya Williams, 26, berkata, dia yang datang dari Thailand tidak menyangka adanya fenomena ini dan berasa sangat teruja bila mengetahui fenomena ini hanya berlaku setahun sekali.
Dalam pada itu, Timbalan Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, fenomena tahunan ini dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Langkawi.
“Kira-kira 2,500 pengunjung dapat dilihat mula berjalan di atas beting pasir ini dan ramai pelancong asing juga turut menyertai. Fenomena ini berlaku apabila paras air laut turun pada 0.0 meter (m), menyebabkan beting pasir sejauh 1 kilometer (km) terbentuk ibarat membelah laut dan membolehkan pengunjung berjalan di atasnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE













