fbpx
Mohd Na’im (kanan) melawat Asmah di Hospital Saudi German di Mekah pada 10 November lalu. Foto Facebook Dato' Setia Dr Naim

Hajah Asmah sudah tiada – Mohd Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA– Jemaah haji yang sebelum ini dibawa pulang ke Malaysia selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Saudi German Hospital, Mekah, disahkan meninggal dunia petang tadi.

Allahyarham Asmah Mansor, 72, yang merupakan jemaah haji musim 2025/1446H, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tanjung Karang, Selangor.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pemergianAllahyarham berlaku selepas segala ikhtiar perubatan terbaik diberikan oleh pasukan perubatan yang bertugas dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.

“Walaupun beliau diuji dengan kesakitan yang berat, perjalanan terakhir Hajah Asmah pulang ke tanah air berlangsung dengan solidariti seluruh rakyat Malaysia.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran atas kehilangan yang amat besar ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama-sama membantu misi membawa pulang Allahyarham ke tanah air.

“Terima kasih sekali lagi kepada rakyat Malaysia yang membantu saya dalam misi membawa pulang Allahyarham.

“Usaha ini bukan sekadar membawa pulang seorang pesakit, tetapi satu ikhtiar menyatukan kembali sebuah keluarga yang terpisah dan saya yakin inilah kekuatan sebenar negara kita,” katanya.

Sebelum ini, Allahyarham Asmah menerima rawatan intensif di Hospital Saudi German, Mekah sejak 13 September lalu selepas disahkan menghidap pneumonia.

Mohd Na’im ketika memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut melancarkan satu tabung khas bagi mengumpul dana untuk membawa pulang Allahyarham ke Malaysia.

Hasil kerjasama dan keprihatinan rakyat serta kerajaan Malaysia, Allahyarham selamat dibawa pulang ke tanah air pada 25 November lalu sebelum ditempatkan di Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN