CREMONA – Inter Milan mengukuhkan cengkaman di puncak Serie A selepas menang 2-0 ke atas Cremonese, namun kejayaan itu dicemari insiden letupan suar yang hampir mengenai penjaga gol tuan rumah dari Indonesia, Emil Audero.
Kemenangan tersebut melonjakkan Inter kepada 55 mata daripada 23 perlawanan, lapan mata di hadapan seteru setempat, AC Milan sekali gus mengesahkan statusnya sebagai pasukan paling konsisten ketika ini.
Lautaro Martinez dan Piotr Zielinski memastikan tugas mudah Inter dengan dua jaringan pada separuh masa pertama ketika Cremonese bergelut untuk menyaingi tempo dan kawalan permainan pelawat.
“Masih jauh perjalanan liga ini. Kami buat beberapa kesilapan, terutama pada babak pertama, tetapi banyak juga perkara positif kerana persaingan liga sangat seimbang,” kata Martinez.
Perlawanan bagaimanapun terganggu pada awal separuh masa kedua apabila satu suar dilemparkan dari kawasan penyokong pelawat dan meletup berhampiran Audero, memaksa perlawanan dihentikan seketika.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia membahayakan nyawa. Kami bermain untuk tontonan seluruh dunia. Saya mohon maaf kepada Audero dan penyokong Cremonese,” tegas Martinez.
Inter terus mengawal perlawanan selepas itu tanpa banyak ancaman, mencerminkan prestasi mantap mereka yang kini menang 10 daripada 11 aksi liga terakhir.
Sebaliknya, Cremonese terus dihantui keputusan buruk apabila masih tanpa kemenangan dalam lapan perlawanan, situasi yang meletakkan mereka semakin hampir dengan zon penyingkiran.
Martinez membuka jaringan pada minit ke-16 menerusi tandukan kemas hasil sepakan sudut Federico Dimarco, sebelum Zielinski menggandakan kelebihan dengan rembatan padu jarak jauh. – AGENSI














