LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menepis dakwaan pasukannya sudah mengibarkan bendera putih dalam usaha merampas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seri 2-2 bertemu Tottenham Hotspur di tempat lawan, awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, City dilihat berada di landasan tepat untuk berikan tekanan kepada pendahulu, Arsenal selepas mendahului 2-0 hasil jaringan Rayan Cherki dan Antoine Semenyo.
Namun, kesilapan benteng pertahanan menyaksikan tuan rumah mencipta kebangkitan bergaya untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata sekali gus menyaksikan City hanya menang sekali dalam enam aksi terakhir liga.
Guardiola percaya tiada apa yang mustahil dalam bola sepak selepas Arsenal ketika ini memiliki kelebihan enam mata ketika saingan berbaki 14 perlawanan.
“Saya akui kecewa dengan keputusan ini tetapi jurang dengan Arsenal tidak terlalu jauh. Apa sahaja boleh berlaku dalam 14 perlawanan akan datang dan kita masih kekal berharap,” katanya.
Sementara itu, Guardiola percaya satu gol Spurs yang dijaringkan oleh Dominic Solanke patut dibatalkan VAR selepas mengasari pemain pertahanannya, Marc Guehi.
“Jika Guehi yang lakukan situasi yang sama ke atas Solanke, ia pasti penalti. Saya anggap gol tersebut tidak sah tetapi kita tidak mudah menyerah,” katanya. – AGENSI














