fbpx
GAMBAR fail 2018 menunjukkan seekor ular kapak Gaboon dipamerkan di Palais de la Decouverte, Paris. – AFP 

50,000 rakyat India mati dipatuk ular 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW DELHI – Kira-kira 50,000 rakyat India mati dipatuk ular setiap tahun, bersamaan separuh daripada keseluruhan  kematian akibat gigitan reptilia berbisa itu di seluruh dunia, demikian menurut angka kerajaan persekutuan seperti laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) kelmarin. 

Laporan baharu oleh Pasukan Petugas Gigitan Ular Global (GST) menyatakan, 99 peratus pekerja penjagaan kesihatan di India berdepan kesukaran dalam memberikan antivenom iaitu antibodi penyelamat nyawa yang meneutralkan toksin dalam bisa ular.

Kajian GST di India, Brazil, Indonesia dan Nigeria mendapati halangan sama iaitu kelemahan infrastruktur, kekangan akses antivenom dan latihan tidak mencukupi menyukarkan usaha merawat mangsa.

Negara-negara tersebut adalah yang paling terjejas akibat gigitan ular.

Kelewatan memberikan rawatan boleh menyebabkan komplikasi serius pada pesakit termasuk pemotongan anggota badan, pembedahan atau masalah mobiliti sepanjang hayat.

Seorang petani di India dikenali sebagai Davendra masih ingat saat seekor ular membenamkan taring ke kakinya semasa dia memetik daun mulberi.

“Saya pergi ke hospital empat hari selepas digigit, apabila kesakitan menjadi tidak tertanggung. Namun kelewatan itu menyebabkan saya kehilangan kaki,” katanya.

Davendra merupakan antara segelintir mangsa yang bernasib baik kerana terselamat.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kira-kira 5.4 juta orang di seluruh dunia digigit ular pada setiap tahun dengan lebih daripada 100,000 meninggal dunia. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI