PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan meraih pujian apabila sanggup behenti daripada menjalankan tugas bagi membantu seorang wanita di Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur, kelmarin.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita tersebut memaklumkan kejadian terbabit berlaku kira-kira pukul 1 petang selepas kenderaanya mengalami tayar pancit akibat terkena paku.
“Dia berhenti membantu saya dengan sangat pantas kerana bimbang keadaan akan menyebabkan kesesakan. Dia asyik menenangkan saya dan meminta saya fokus untuk mengalihkan kereta terlebih dahulu,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Lebih menyentuh hati apabila lelaki berkenaan enggan menerima sebarang ganjaran sebagai tanda penghargaan dan terus bergegas menyambung tugas penghantaran makanan.
“Dia menolak tanda penghargaan daripada saya dan segera berlalu untuk meneruskan penghantaran. Benar-benar seperti seorang malaikat. Dia sangat mengambil berat tentang pengguna jalan raya lain,” tambahnya.
Wanita tersebut turut merayu agar pelanggan yang menerima pesanan makanan daripada penghantar berkenaan di sekitar Kuala Lumpur tidak memberikan ulasan negatif sekiranya pesanan mereka mengalami kelewatan.
“Tolong jangan beri ulasan buruk kepada abang ni. Sebaliknya, boleh DM saya supaya kita sama-sama dapat memberi tip kepadanya.
“Tulus dari hati, dia seperti malaikat yang muncul tepat pada waktunya. Saya cuma berharap dia menerima segala kebaikan dan rezeki yang berlipat ganda,” katanya.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang rata-rata memuji sikap prihatin dan keikhlasan penghantar berkenaan.
“Abang ‘rider’ ini memang layak dipuji sebab sikap prihatin dan empatinya. Benda macam ni yang kita perlukan dalam dunia sekarang. Harap bila abang pula susah nanti, ada ‘malaikat’ datang tolong dia,” komen Cynthia Hawkins.
“Perkara sama pernah jadi dekat saya juga. Masa tu malam dan kawasan sekeliling sunyi, tak banyak bangunan atau orang. Seorang penghantar makanan tolong saya. Saya hulur RM50, mula-mula dia tolak tapi saya berkeras sebab dah lewat malam dan ada sedikit masalah masa tukar tayar,” kata Anis Ghazali.
“Selalunya orang yang hidup serba kekurangan, sama ada dari segi kewangan atau fizikal, itulah yang berhati baik. Saya harap mereka kekal begitu, atau jadi lebih baik lagi,” komen @captainnasikatok – KOSMO! ONLINE
View on Threads














