PETALING JAYA – Hasrat seorang lelaki untuk mendapatkan perkhidmatan pembersihan rumah berkecai apabila ditipu selepas membuat pembayaran melalui pautan yang diberikan ‘scammer’.
Pengguna @Miyjiey menerusi hantaran di Threads mendakwa, dia tertarik dengan iklan tersebut yang menawarkan harga murah dan menjanjikan perkhidmatan profesional sebelum membuat bayaran pendahuluan.
Dia turut berkongsi tangkap layar perbualan dengan individu dipercayai ejen perkhidmatan pembersihan yang meminta supaya membayar deposit melalui pautan yang diberikan selain memuat turun fail.
Sementara itu, seorang wanita mendakwa pernah diperdaya ‘scammer’ yang menggunakan modus operandi dan perkhidmatan pembersihan sama.
“Kita nak cuci mesin basuh, tapi kenapa nak bayar deposit, dia suruh tekan link (pautan) dan muat turun fail? ‘Scammer’ ke?,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna Threads menasihatkan orang ramai agar tidak terperdaya dengan modus operandi penipuan dalam talian yang berkongsi pautan atau kod QR.
“Abang ipar saya pun pernah ditipu cara yang sama. Ingatkan nak betulkan mesin basuh yang rosak, rupa-rupanya duit dicuri sampai RM3,000,” kongsi @Chahmail.
“Kalau syarikat perkhidmatan guna gambar AI (Artificial Intelligence), tolong elakkan. Kalau syarikat kecil atau persendirian selalunya guna gambar pemilik atau pekerja,” balas @Vicky.littlewolf. –KOSMO! ONLINE














