fbpx
Gambar hiasan.

TNB minta pelanggan waspada ancaman ‘phone scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesan kewujudan taktik penipuan melalui panggilan telefon oleh individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai syarikat utiliti itu, sekali gus berjaya memperdaya seorang pelanggan di Terengganu.

Menurut TNB dalam satu kenyataan, pihaknya mengambil maklum serta bersimpati dengan nasib mangsa selepas menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai warga kerja TNB bagi mendapatkan maklumat peribadi.

“TNB ingin menegaskan bahawa individu yang menghubungi mangsa tersebut tidak mewakili TNB.”

“Kami sedang meneliti maklumat yang diterima dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Tambah kenyataan itu, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengugut atau mendesak mangsa supaya memberikan maklumat sensitif kononnya bagi menyelesaikan isu bil atau akaun elektrik.

TNB menasihati pelanggan dan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang panggilan mencurigakan yang mendakwa daripada pihak TNB.

Orang ramai juga diingatkan agar tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat kediaman atau rekod akaun melalui telefon tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu.

Bagi memastikan kesahihan sesuatu panggilan, pelanggan disarankan untuk menghubungi TNB Careline di talian 1300-88-5454 atau menggunakan saluran rasmi TNB bagi mendapatkan pengesahan.

Terdahulu, media melaporkan seorang pesara kerajaan perempuan berusia 71 tahun dari Batu Rakit, Kuala Nerus, telah kerugian RM50,000 akibat sindiket ‘phone scam’ pada 29 Januari 2026.

Penipu menyamar sebagai pegawai TNB, mendakwa nama mangsa disalahgunakan dan meter eletriknya telah diubah suai lalu panggilan telefon itu disambung pula kepada rakan sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN