DUNGUN – Seekor tapir jantan mati selepas dirempuh sebuah kereta jenis Volkswagen di Kilometer 8, Jalan Bandar Al-Muktafi Bilah Shah-Paka, berhampiran Kampung Santong, di sini malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 10 malam tersebut, haiwan dilindungi berkenaan mati akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Pemandu kereta Volkswagen yang merupakan seorang guru lelaki berusia 49 tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, anggota agensinya segera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.
“Pemeriksaan mendapati tapir jantan seberat 300 kilogram (kg) telah mati akibat kecederaan parah dilanggar. Kita percaya kereta terlibat gagal mengelak haiwan dilindungi tersebut yang dikatakan tiba-tiba melintas jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














