fbpx
Sisa e-waste.

Pihak terlibat penyeludupan ‘e-waste’ pengkhianat kelestarian Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mereka yang terlibat dalam jenayah penyeludupan dan pemprosesan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini adalah pengkhianat terhadap kelestarian Malaysia.

Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang juga Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin berkata, Malaysia bukan tempat pembuangan sisa asing.

“Saya sepenuhnya menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengenal pasti sesiapa sahaja yang terlibat dalam tindakan memalukan membolehkan penyeludupan dan pemprosesan sisa elektronik asing.

“Saya pernah berkata pada 2019 apabila kita mengisytiharkan perang terhadap sisa plastik asing, rakyat Malaysia yang terlibat dalam jenayah itu adalah pengkhianat terhadap kelestarian Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bee Yin berkata, beliau hari ini mengulangi pendiriannya bahawa rakyat Malaysia sama ada ahli perniagaan atau pegawai yang bekerjasama dengan sindiket antarabangsa dan warga asing untuk menyeludup sisa elektronik ke dalam negara dan membenarkannya diproses di sini adalah pengkhianat kepada kepelbagaian biologi Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menyeru Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menubuhkan pasukan petugas bagi meningkatkan penguatkuasaan terhadap pemprosesan sisa elektronik haram di seluruh negara.

Menurut beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan terhadap kira-kira 100 kilang kitar semula plastik haram hanya dalam satu tahun pada 2019 dan perkara sama boleh dilakukan terhadap kilang sisa elektronik haram tahun ini.

Ujar beliau, bahagian penguatkuasaan JAS pernah menjadi salah satu daripada lapan pemenang Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar PBB atas tindakannya terhadap sisa plastik asing.

“Saya percaya ia (JAS) mempunyai keupayaan dan kapasiti untuk memimpin perang menentang pencemaran sisa elektronik apabila kita meletakkan pegawai dan sistem yang betul,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN