KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru rakyat Malaysia menolak sebarang bentuk hasutan dan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Beliau dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Thaipusam berkata, perayaan tersebut adalah simbol semangat kebersamaan serta saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Ujar beliau, kepelbagaian budaya dan kepercayaan merupakan keindahan Malaysia yang perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati, meraikan perayaan antara satu sama lain serta hidup dalam suasana aman dan harmoni.
“Perpaduan inilah yang menjadi tunjang kekuatan negara kita. Marilah kita terus menjauhi isu berbaur hasutan dan perkauman, sebaliknya menyemai nilai saling menghormati adat serta budaya sebagai asas kepada keampuhan semangat perpaduan sesama kita,” katanya hari ini.
Fadillah berkata, selari dengan aspirasi Malaysia Madani, budaya masyarakat tempatan yang saling meraikan perayaan setiap kaum wajar terus diperkukuhkan bagi membina negara yang sejahtera,
inklusif dan penuh ihsan.
Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia perlu terus meraikan kepelbagaian demi memastikan negara kekal bersatu, aman dan harmoni. – KOSMO! ONLINE














