fbpx
Perbuatan vandalisme dan mencuri kabel elektrik masih berlaku di Kuala Lumpur.

DBKL kecam ‘petualang’ vandalisme, salah guna kemudahan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengecam sikap segelintir individu yang disifatkan sebagai ‘petualang kepada kesejahteraan bersama’ kerana melakukan vandalisme dan penyalahgunaan kemudahan awam di ibu negara.

Dalam satu kenyataan di media sosial, DBKL melahirkan rasa kesal terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu yang mengabaikan kepentingan masyarakat dan tidak menghargai usaha DBKL dalam menyediakan kemudahan awam untuk kegunaan semua.

“Perbuatan vandalisme dan penyalahgunaan kemudahan awam masih berlaku, seolah-olah tidak menghargai jerih payah yang dilakukan demi kepentingan semua.

“Kes kecurian kabel elektrik dan kuprum, sambungan elektrik haram, kecurian air dari pili bomba, pemotongan kabel lampu di laluan awam, pembuangan sampah ke dalam manhole, perbuatan tidak beretika di dalam lif serta contengan dan kerosakan pada dinding dan kemudahan awam terus berlaku dan memberi kesan langsung kepada penduduk,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut DBKL, sikap ‘petualang’ itu bukan sahaja menyusahkan urusan harian warga kota, malah mengundang risiko keselamatan, menjejaskan ketenteraman komuniti serta membebankan kerajaan dengan kos pembaikan yang tinggi.

Kata DBKL, dana awam yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan kemudahan, memperluas pembangunan dan memperkukuh kesejahteraan rakyat terpaksa dialihkan semata-mata bagi membaiki kerosakan akibat sikap tidak beradab segelintir pihak.

Sehubungan itu, DBKL dalam kenyataan sama menegaskan, Kuala Lumpur adalah rumah bersama yang menuntut rasa tanggungjawab kolektif.

Ujar DBKL, menjaga kemudahan awam bukan sekadar memelihara harta benda, tetapi melibatkan keselamatan, maruah dan masa depan bandar raya ini.

Pada masa sama, DBKL menyeru anggota masyarakat tidak berdiam diri terhadap sikap ‘petualang’ tersebut, sebaliknya menegur dengan berhemah, melaporkan salah laku dan menjadi contoh terbaik demi menjamin kualiti kehidupan generasi akan datang.

“Kerana menjaga kemudahan awam adalah sebahagian daripada menjaga kehidupan bandar. Inilah cerita kota, cerita kita,” kata DBKL.

Terdahulu, DBKL berkata, hari ini genap 52 tahun Kuala Lumpur diraikan sebagai sebuah bandar yang terus berkembang hasil usaha bersama, pengorbanan dan rasa tanggungjawab warganya.

Jelas DBKL, setiap pembangunan, setiap kemudahan awam dan setiap ruang yang disediakan bukan sekadar simbol kemajuan, tetapi lambang komitmen untuk memastikan kehidupan warga kota berlangsung dalam keadaan selamat, teratur dan sejahtera.

“Seiring dengan itu, DBKL sentiasa mengambil tanggungjawab ini dengan penuh kesungguhan. Pelbagai usaha dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan infrastruktur dan fasiliti sebagai contoh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta Perumahan Awam (PA) berada dalam keadaan selamat, terjaga dan kondusif untuk didiami.

“Kemudahan seperti lif, lampu, pili bomba, laluan awam dan sistem keselamatan bukanlah perkara kecil. Ia adalah nadi kepada kehidupan bandar, menjamin keselamatan, keselesaan serta kelangsungan rutin harian penduduk.

“Justeru, DBKL tidak pernah memandang ringan soal penyelenggaraan dan pembaikan, malah terus memperkukuh tindakan bagi memastikan kemudahan ini sentiasa berada pada tahap terbaik untuk warga kota,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN