PUTRAJAYA – Langkah kerajaan mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama rakyat, sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian tidak boleh dianggap sebagai paksaan.
Sebaliknya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, dasar baharu pendidikan yang diperkenalkan kerajaan itu bertujuan memberi ruang kepada setiap rakyat mendapatkan pendidikan masing-masing.
“Ini bukan soal paksaan. Saya harap kita kena perbetulkan dari segi tanggapan bahawa ini satu desakan dan sebagainya. Bagi saya apa yang kita lihat, ruang dan peluang untuk setiap rakyat Malaysia mendapatkan pendidikan,” katanya selepas melancarkan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) bagi Zon Wilayah (Premier) di sini hari ini.
Katanya, Dasar Pendidikan Negara (DPN) 2026-2035 yang dilancarkan baru-baru ini merupakan pendekatan terbaik bagi menyelaras kepelbagaian sistem pendidikan yang ada dalam negara ketika ini.
Zambry berkata, menerusi dasar itu, kerajaan tidak boleh hanya melihat satu kes semata-mata yang melibatkan satu aliran sahaja sebaliknya melihat secara lebih saksama.
“Sebab yang disebutkan berkali-kali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia juga melibatkan sekolah antarabangsa dan sekolah agama yang ada yang tidak mengikut silibus dari segi pengajarannya serta mata pelajaran Sejarah dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.
Zambry menjelaskan, proses perbincangan terperinci berhubung pelaksanaan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di sekolah aliran bukan kebangsaan itu telah dimulakan.
Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia bagi memperincikan aspek teknikal dan kualiti pengiktirafan. – KOSMO! ONLINE














