KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei mengekalkan rentak konsisten apabila meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Thailand Masters.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok sebentar tadi, bekas perseorangan wanita No.1 negara itu menewaskan rakan senegara, Wong Ling Ching 17-21, 21-17, 21-16.
Lebih manis, kejayaan itu hadir ketika dia baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-26 semalam dan kemenangannya diraikan dengan nyanyian ‘selamat hari jadi’ daripada penonton.
Turun berdepan Ling Ching yang dianggap sedang berada pada prestasi terbaik, bekas juara remaja dunia itu terpaksa akur apabila tewas di set pertama, namun ia tidak memantahkan semangatnya.
Sebaliknya, Jin Wei memperkemaskan corak permainan dan berjaya menampilkan aksi lebih baik dalam dua set berikutanya sebelum menamatkan perlawanan separuh akhir itu dalam tempoh 57 minit.
Justeru, aksi final yang akan berlangsung esok menjadi peluang terbaik buat Jin Wei untuk menamatkan kemarau kejuaraan selepas kali terakhir bergelar juara ketika memenangi Kejohanan Badminton Remaja Dunia pada 2018.
Bagaimanapun, Jin Wei perlu berada pada prestasi terbaik kerana dia akan bertemu sama ada pilihan kelima dari Taiwan, Huang Yu Hsun ataupun Devika Sihag dari India di pentas final nanti. – KOSMO! ONLINE














