JOHOR BAHRU – Pengukuhan mata wang Ringgit Malaysia (RM) menyebabkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura bermuram apabila pendapatan mereka ‘menyusut’ sejak beberapa bulan lalu.
Pada Disember tahun lalu, kadar tukaran mata wang dolar Singapura (SG$) 1 kepada RM adalah RM3.19 dan terus menyusut kepada RM3.10 semalam.
Rata-rata rakyat Malaysia yang bekerja secara ulang-alik mengakui terkesan dengan situasi tersebut dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menguruskan kewangan termasuk mengikat perut.
Seorang pemandu bas, Helmizi Londing, 48, berkata, dia yang bekerja hampir 10 tahun di republik tersebut dengan gaji sebanyak SG$2,000 kehilangan pendapatan kira-kira RM200 sebulan sejak Disember lalu.
“Jika keadaan ini berlarutan, saya terpaksa mengurangkan perbelanjaan bulanan. Apabila sesi persekolahan baharu 2026 dibuka, ramai ibu bapa termasuk saya mengeluarkan belanja yang besar untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak serta yuran.
“Saya mempunyai tiga anak yang bersekolah pada tahun ini dan perlu menyediakan hampir RM3,000 untuk perbelanjaan tersebut. Bulan ini kita akan menyambut puasa (Ramadan) dan seterusnya Hari Raya Aidilfitri (Mac).
“Jadi memang banyak pakai duit. Bila ringgit makin mengukuh, kami pula yang rasa sesak dan kena ikat perut,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.

Keadaan sama turut dialami Rohana Ismail, 42, yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di Singapura dengan pendapatan sebanyak SG$2,800 sebulan.
Wanita itu juga resah apabila gaji bulanannya menyusut sejak beberapa bulan kebelakangan ini lebih-lebih lagi apabila dia yang menetap di Pasir Gudang di sini berulang-alik menunggang motosikal ke tempat kerja.
“Hujung tahun lalu, pendapatan saya sebanyak RM8,848 dan menyusut kepada RM8,717 pada bulan Januari. Walaupun jumlahnya sedikit, namun jika keadaan ini berterusan ia akan memberi kesan kepada kami yang mencari rezeki di seberang tambak,” katanya.
Bagi pekerja pembersihan, Mohd. Faizal Abdul, 26, dia yang baru bekerja di Singapura tahun lalu turut terkesan dengan situasi tersebut.
“Gaji saya di Singapura tidak besar iaitu sekitar SG$1,300. Dengan pendapatan itu saya gunakan untuk membayar komitmen bulanan termasuk ansuran kenderaan. Melihat ringgit sekarang yang makin kukuh saya perlu buat ‘kira-kira’ dan berjimat-cermat,” katanya.
Mohd. Faizal berkata, setakat ini dia masih memilih untuk bekerja di Singapura kerana kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan di tanah air sendiri.
Pada 23 Januari lalu, ringgit menembusi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992.
Pengukuhan ringgit itu membawa khabar gembira termasuk kepada warga asing dari Indonesia yang bekerja di negara ini.
Mereka mendakwa mampu mengirim wang kepada keluarga sehingga 10 juta Rupiah sebulan berikutan pengukuhan ringgit sejak hujung tahun lalu.
Lonjakan kadar tukaran wang itu juga mendorong mereka melakukan kerja tambahan bagi mengumpul lebih banyak wang untuk dihantar ke kampung.
Situasi itu membolehkan ahli keluarga mereka mengubah suai rumah, membeli kenderaan, menyambung pelajaran dan menyimpan untuk tujuan memulakan perniagaan apabila kembali ke tanah air.
Kadar tukaran RM1 ketika ini bersamaan 4,262 rupiah, tertinggi sejak lebih 10 tahun.
















