TANAH tinggi Cameron Highlands di Pahang menyimpan tarikan tersendiri, khususnya buat peminat larian denai yang ingin memburu elevasi dan cabaran di kawasan altitud tinggi.
Pengalaman penulis sebagai salah seorang peserta acara larian Cameron Ultra (CULTRA) memberi perspektif baharu mengenai keunikan tanah tinggi itu yang sering dilihat sebagai destinasi pelancongan bercuaca sejuk.
Pada edisi kelapan, penulis menyertai jarak ultra sejauh 60 kilometer (km), manakala bagi edisi kesembilan baru-baru ini, penulis memilih kategori 30km.
Pemilihan dua jarak berbeza itu bukan secara kebetulan, sebaliknya didorong keinginan untuk merasai kelainan cabaran yang ditawarkan bagi kedua-dua kategori.
Meskipun jarak 60km benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental, namun kategori 30km tidak kurang sukarnya.
Ini kerana pelari diuji dengan had masa yang lebih singkat.
Bagi penulis, tempoh waktu yang lebih ‘ketat’ itu menuntut peserta menyusun strategi lebih rapi untuk bergerak pantas.

Namun begitu, dalam larian denai, elemen elevasi menjadi fokus utama kerana laluan berprofil tinggi perlu ditempuh hampir sepanjang perlumbaan.
Sepanjang 30km, penulis perlu menawan beberapa puncak utama termasuk Gunung Berembun setinggi 1,840 meter dari paras laut.
Walaupun gunung ini bukan asing dalam kalangan pendaki, namun gabungan altitud tinggi, denai teknikal dan jarak menjadikan pengalaman berlari lebih mencabar.
Ketika merentasi gunung tersebut, penulis melalui satu tapak perkhemahan iaitu Kem Sungai Pauh yang dilengkapi fasiliti asas seperti tandas dan surau.

Kawasan tersebut dikelilingi rimbunan pokok pain serta aliran sungai kecil yang mewujudkan suasana tenang, seolah-olah berada jauh dari kesibukan dunia luar.
Sewaktu perjalanan turun dari Gunung Berembun, penulis perlu melalui laluan berhampiran Robinson Falls di Tanah Rata.
Deruan kuat air terjun itu menjadi latar bunyi yang mengasyikkan, sebelum penulis ‘berhempas-pulas’ mendaki laluan jalan tar sejauh 4km ke ladang teh.
Salah satu detik yang penulis nantikan adalah memasuki kawasan ladang teh milik syarikat Boh yang hanya dibuka khas kepada peserta CULTRA.
Walaupun matahari mula terpacak dan laluan berbukit menguji kaki, kehijauan ladang teh di altitud tinggi memberikan suntikan semangat yang luar biasa.
Penulis mengakui larian di ladang teh bukan mudah, namun kepuasan jelas dirasai apabila dapat menikmati panorama eksklusif di ladang teh.
CULTRA edisi kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila rekod baharu kategori 100km berjaya dipecahkan oleh Kristjan Chapman dari Iceland dengan catatan masa 13 jam 14 minit.
Pencapaian itu mengukuhkan reputasi acara anjuran BOLTS Events Management ini sebagai antara larian denai beraltitud tinggi paling mencabar dan terkenal di rantau ini.
Pengalaman menyertai CULTRA selama dua tahun berturut-turut membuktikan Cameron Highlands bukan saja indah dipandang. Malah, ia adalah destinasi ideal buat pelari yang ingin menguji keupayaan diri.














