JOHOR BAHRU – Ajaran Ahmadi Religion yang difatwakan sesat di negeri ini, baru-baru ini kembali dihidupkan dipercayai didalangi oleh individu dari luar Johor.
Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Yusree Ikhsan berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati usaha membawa masuk ajaran berkenaan dilakukan oleh pihak luar dan tidak membabitkan penduduk tempatan.
Katanya, meskipun kegiatan itu masih terkawal namun pihaknya mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan
dengan mana-mana ajaran yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negeri ini.
“Penyebaran poster berkaitan ajaran sesat berkenaan mula dikesan oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM) apabila ia digantung di beberapa lokasi tumpuan awam di bandar Muar, baru-baru ini.
“MPM mengambil tindakan menurunkan poster berkenaan pada Jumaat lalu atas kesalahan menggantung bahan tanpa kebenaran sebelum perkara itu dirujuk kepada JAINJ,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Beliau berkata, hasil semakan pihak berkuasa mendapati bahan-bahan berkenaan mempromosikan ajaran Ahmadi Religion yang telah difatwakan sesat sebelum ini.
Setakat ini, katanya, tiada sebarang tangkapan dilakukan, namun pemantauan akan diteruskan pihaknya bagi memastikan ia tidak berulang.
Berdasarkan rekod, tahun lalu, seorang pengikut ajaran berkenaan di Pontian telah didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman denda RM6,000 serta penjara tiga bulan atas tiga pertuduhan menyimpan bahan berkaitan ajaran sesat berkenaan.
Terdahulu, Jumaat lalu tular gambar poster dan kain rentang mempromosikan semula ajaran sesat itu yang dikesan dipasang di beberapa lokasi tumpuan ramai di Muar.
Bagaimanapun, pihak berkuasa dan polis telah bertindak menurunkan kain rentang berkenaan.
Antara kepercayaan dan ajaran Ahmadi Religion yang bercanggah dengan agama Islam adalah pengikutnya mempercayai
Muhammad bin al-Hassan al-Askari (Imam syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.
Selain itu, pengikut ajaran berkenaan juga percaya Ahmad al-Hasan yang digelar al-Yamani berperanan sebagai utusan kepada Imam al-Mahdi yang akan membawa syariat baharu dan terakhir yang menyempurnakan ajaran serta syariat para Nabi terdahulu. – KOSMO! ONLINE














