GOMBAK – Polis memberi amaran keras kepada saki-baki ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Kapten Praba’ bahawa mereka tidak akan terlepas daripada buruan pihak berkuasa walaupun cuba melarikan diri ke luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan mendapati sebahagian daripada ahli kumpulan itu dipercayai telah melarikan diri menggunakan saluran tidak rasmi, termasuk keluar dari negara secara haram.
“Kami mengejar mereka. Ada yang kami percaya telah keluar negara menggunakan saluran tidak rasmi.
“Tapi satu sahaja saya mahu tegaskan, awak boleh lari, tetapi awak tidak boleh bersembunyi selama-lamanya daripada pasukan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kepolisan Komuniti ‘Thaneer Panthal’ Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Thaipusam di Kuil Sri Subramaniam Swamy, Batu Caves, di sini, hari ini.
Pada Rabu lalu, media melaporkan, tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Kapten Praba’.
C. Navindren Raj, 38, S. Sridharan, 30 dan S. Pratifkumar, 30, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari sama ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jenjarom, Kuala Langat antara Disember 2023 hingga 11 September tahun lalu mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tiga lelaki itu yang juga suspek utama Ops Jack Sparrow ditahan di Mumbai, India pada Ahad lalu sebelum tiba KLIA Rabu lalu.
Pada 11 Septermber tahun lalu, pihak polis menjalankan operasi bersepadu di beberapa negeri yang dikenali sebagai Ops Jack Sparrow ke atas kumpulan jenayah terancang itu yang mempunyai 33 ahli dengan individu yang digelar ‘Kapten Praba’ dikenal pasti sebagai ketua kumpulan.
Mereka dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan, termasuk pembunuhan, serangan menggunakan senjata berbahaya, samun berkumpulan serta kes khianat dengan api. – KOSMO! ONLINE














