SEREMBAN – “Cukup-cukuplah…Pagi tadi ada lagi kes (rasuah) melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)… Minggu lepas ada (kes rasuah)…,cukup-cukuplah ye,” itu amaran yang dilontarkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Justeru, katanya, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku integriti termasuklah dalam Majlis Bandaraya Seremban (MBS), melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Beliau berkata, ketegasan itu penting bagi memastikan setiap perancangan strategik menjadikan Seremban sebagai Bandaraya Pintar dan Bandaraya Rendah Karbon menjelang 2027 dapat dilaksanakan dengan berkesan, berintegriti dan diyakini rakyat.
“MBS perlu bergerak lebih pantas, tersusun dan berdisiplin bagi mencapai sasaran tersebut, yang bukan sekadar komitmen dasar, sebaliknya keperluan strategik demi masa depan bandaraya yang mampan,” katanya pada Majlis Apresiasi Bandaraya (MAB) Majlis Bandaraya Seremban 2025 di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














