LONDON – Harga minyak dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan susulan kebimbangan semakin meningkat terhadap kemungkinan Amerika Syarikat (AS) menyerang Iran, lapor portal berita This Is Money semalam.
Ketika ketegangan antara Washington dan Tehran semakin meruncing, harga minyak mentah Brent naik lima peratus kepada AS$71.89 (RM283) setong.
Ia merupakan paras tertinggi sejak awal Ogos 2025 dan menjadikan kenaikan sejak awal Januari 2025 ketika harga minyak jatuh di bawah AS$60 setong (RM236), mencecah 20 peratus.
Saham syarikat tenaga BP dan Shell masing-masing meningkat lebih dua peratus.
Lonjakan terbaru harga minyak berlaku selepas Iran berikrar akan memberikan tindak balas menghancurkan terhadap sebarang serangan AS, susulan amaran Presiden Donald Trump bahawa masa semakin suntuk untuk mencapai perjanjian nuklear.
Kenaikan harga minyak itu dijangka menyebabkan harga petrol di pam meningkat bagi para pengguna.
Iran merupakan pengeluar minyak keempat terbesar dalam kalangan anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dengan pengeluaran sekitar 3.2 juta tong sehari.
Seorang penganalisis memberi amaran bahawa konflik ketenteraan boleh menjejaskan pengeluaran minyak Iran dan membawa kepada penutupan Selat Hormuz, laluan bekalan utama dunia sekitar 20 juta tong minyak setiap hari.
“Kebimbangan utama ialah kesan sampingan jika Iran bertindak terhadap negara jirannya atau lebih kritikal lagi, menutup Selat Hormuz yang ‘dilalui’ 20 juta tong minyak sehari,” kata seorang penganalisis syarikat broker minyak PVM, John Evans. – AGENSI














