fbpx
Muhamad Hafiy IQBAL (tengah) kelihatan aktif dan ceria ketika ditemui bersama ibu bapanya di Kampung Alor Hijau, Wakaf Raja, Pasir Puteh semalam. – Torek Sulong

Muka, salur pernafasan Muhamad Hafiy Iqbal dibedah esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Seorang kanak-kanak yang menghidap Sindrom Treacher Collins (TCS) sejak lahir, Muhamad Hafiy Iqbal Muhamad Rosdi, 6, akan menjalani prosedur pembedahan bahagian muka dan salur pernafasan bermula esok.

TCS merupakan kelainan genetik yang jarang berlaku menyebabkan pertumbuhan tulang atau jaringan wajah tidak sempurna terutama pada bahagian tulang pipi, rahang dan telinga.

Ibunya, Nursyarini Abdul Ghani, 39, berkata, anaknya menjalani pemeriksaan awal daripada pakar di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian sebelum pembedahan dilaksanakan di hospital berkenaan.

Menurutnya, kos pembedahan berjumlah RM60,000 telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Volunteer I Care Kelantan dan Yayasan Kos­ma,

Pahang selepas kisah anak­nya dipaparkan menerusi rua­ngan Kosmo! Prihatin.

“Saya berterima kasih atas semua bantuan kewangan yang dihulurkan. Kami sekeluarga sentiasa berdoa agar urusan pembedahan ini dipermudahkan dan Hafiy Iqbal diberikan ­kesembuhan.

“Tanpa bantuan orang ramai dalam usaha merawat Muhamad Hafiy akan hanya tinggal impian. Apa pun, proses rawatannya masih menuntut ketabahan dan kami tidak akan persiakan sumbangan serta harapan dermawan yang membantu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Nursyarini memberitahu, Hafiy Iqbal kini bersekolah di Prasekolah Khas Sekolah Orang Kurang Upaya (OKU) Alor Lintang, Besut di Terengganu dan keadaan anak bongsu daripada empat beradik itu perlu dipantau rapi kerana pernafasannya bergantung sepenuhnya kepada tiub di leher (trakeostomi).

Menurutnya, keadaan kesihatan Hafiy Iqbal ketika ini stabil, sihat dan aktif, namun memerlukan penjagaan tiub trakeostomi bagi mengelakkan risiko maut akibat saluran pernafasan tersumbat.

“Saya dan suami menyediakan mesin pernafasan di sekolah dan guru-guru telah dimaklumkan supaya segera menghubungi kami jika terdapat tanda-tanda pernafasannya terganggu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, anak ketiganya, Muhamad Harrazz, 12, yang turut menghidap TCS tahap ringan, masih menunggu bantuan alat pendengaran bernilai RM16,000 yang sedang diuruskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri menerusi sistem e-Kasih.

“Kami bersyukur dengan keprihatinan semua pihak yang tampil membantu dan meringankan beban yang kami tanggung selama ini,” katanya.

Pada 21 Oktober 2025, akhbar ini melalui ruangan Kosmo! Prihatin melaporkan, penderitaan Hafiy Iqbal yang tidak mampu makan secara normal, sebaliknya hanya boleh minum susu melalui tiub khas, selain mengalami ke­sukaran bernafas dan memerlukan rawatan serta pembedahan secara berperingkat.

Kanak-kanak itu bakal dibedah di HPUSM, Kubang Kerian selepas mendapatkan tarikh janji temu di Klinik Pakar Pergigian Kanak-Kanak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN