GEORGE TOWN – Seorang pegawai Penjara Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pegawainya, tahun lalu.
Ahmad Suhaizad Mohd Mansoor, 47, yang merupakan pegawai penjara berpangkat Sarjan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang pegawai lelaki dengan menampar menggunakan tangan pada tengkuk, di kantin Penjara Pulau Pinang pada pukul 7.55 pagi, 1 Jun tahun lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara hingga setahun atau didenda maksimum RM2,000 atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin manakala tertuduh diwakili Yayasan Biro Guaman Kebangsaan, Nur Adilla Zaharuddin.
Ketika prosiding, Lau Shavin menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh manakala peguam YBGK yang mewakili tertuduh memohon agar wang jaminan tersebut dikurangkan memandangkan tertuduh dengan pendapatan RM4,000 sebulan perlu menanggung isteri dan anak seramai tiga orang serta ibu bapa.
Nur Fadrina kemudiannya menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan tertuduh juga dilarang untuk mendekati mangsa dalam jarak 500 meter sepanjang kes tersebut berlangsung. Kes ditangguhkan sehingga 3 Mac depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. -KOSMO! ONLINE














