fbpx
Gambar hiasan

75 peratus kes kebakaran terbuka di kawasan belukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan hampir 75 peratus kes pembakaran terbuka melibatkan kawasan belukar di seluruh negara pada Januari tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 3,565 kes kebakaran terbuka dicatatkan dan daripada jumlah itu 2,660 kes melibatkan kawasan belukar.

“Sumbangan utama kebakaran terbuka ini adalah pembakaran kawasan belukar sebanyak 2,660 kes, manakala selebihnya melibatkan sawah padi, hutan, kebun kecil dan kawasan lain,” katanya pada sidang akhbar JBPM, di sini, hari ini.

Katanya, kebakaran di kawasan sampah merekodkan 528 kes, diikuti kawasan hutan (185 kes), kebun kecil (114 kes), sawah padi (58 kes), ladang (15 kes) dan tapak pembinaan (tiga kes).

Nor Hisham berkata, peningkatan kes tersebut dipengaruhi oleh cuaca kering berpanjangan selain sikap segelintir pihak yang masih melakukan pembakaran terbuka walaupun risiko telah diketahui umum.

“Kita sudah kering satu minggu, dua minggu, malah ada kawasan mencecah tiga minggu. Dalam keadaan ini, api sangat mudah merebak dan sukar dikawal,” katanya.

Beliau menegaskan, kebakaran terbuka bukan sahaja mengancam alam sekitar, malah boleh mengakibatkan kerugian besar serta membahayakan keselamatan orang awam.

“Kita ada kes di Johor apabila pembakaran belukar berhampiran kawasan kedai menyebabkan 18 kenderaan yang diparkir musnah. Nilai belukar itu mungkin tidak seberapa, tetapi kerugian akibat 18 kereta yang terbakar sangat besar,” katanya.

Nor Hisham berkata, JBPM turut merekodkan kejadian kebakaran kawasan gambut yang berlaku terlalu hampir dengan kawasan perumahan sehingga memaksa penduduk dipindahkan.

“Dalam satu insiden, kebakaran berlaku hanya kira-kira tiga meter dari rumah penduduk. Ketebalan asap yang tinggi memaksa kita membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) demi keselamatan penduduk,” katanya.

Tambahnya, operasi memadam kebakaran terbuka memerlukan penglibatan anggota dan aset yang besar, selain kos logistik yang tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI