KUALA LUMPUR – Niat seorang lelaki membuat pinjaman untuk rawatan kesihatan akhirnya menjerat diri apabila dia terperangkap dengan tipu helah sindiket along.
Seorang pemandu dikenali sebagai Lim, 58, berkata, dia bukan sahaja terbeban dengan faedah pinjaman terlampau tinggi malah turut menjadi mangsa ugutan dan pernah dipukul gara-gara hutang tersebut.
Katanya, tindakan tidak berperikemanusiaan sindiket along itu terus menghantuinya apabila ahli keluarganya turut dijadikan sasaran ugutan.
“Saya telah membuat pinjaman sebanyak RM10,000 pada Mei tahun lalu untuk kos perubatan. Saya sudah membayar pinjaman sebanyak RM5,000 tetapi mereka tuntut faedah sehingga RM50,000.
“Lebih teruk, anak perempuan saya diganggu dan diminta bayar hutang saya. Saya juga telah diserang oleh tiga individu pada minggu lalu semasa hendak keluar membeli makanan berhampiran tempat kerja,” katanya ketika sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.
Lim berkata, dia turut menerima ugutan menerusi WhatsApp sebelum kejadian dan telah membuat laporan polis berkaitan ugutan pada 23 Januari lalu, manakala laporan dipukul telah dibuat pada 26 Januari.
Nasib sama turut menimpa seorang kontraktor dikenali sebagai Jack, 40, yang mendakwa dipukul dalam kereta selepas dipanggil kononnya untuk berbincang mengenai penyelesaian hutang.
Jack berkata, dia telah meminjam sebanyak RM3,000 pada Januari 2025 untuk kegunaan Tahun Baharu Cina, namun hanya menerima RM2,500.
“Saya pernah bayar bunga sekali sebelum maklumkan saya sudah tak mampu untuk bayar, jadi mereka ajak jumpa untuk berbincang.
“Sebaik sahaja sampai di satu lokasi, saya dipaksa masuk ke dalam kereta, dibawa pusing sekitar Manjalara dan dipukul dengan teruk di dalam kereta,” katanya.
Jack berkata, selepas dipukul dia diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM50,000 untuk menyelesaikan hutang tersebut selain telefon bimbitnya juga dirampas.
“Mereka juga maklumkan sekiranya saya tidak bayar dalam tempoh dua minggu, saya akan dikenakan faedah sebanyak 10 peratus seminggu.
“Saya juga sering menerima ugutan bahawa muka dan maklumat peribadi akan ditularkan di Facebook sekiranya gagal mengikut arahan mereka,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO , Datuk Hishammuddin Hashim berkata, pihaknya menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan menggunakan peruntukan undang-undang yang sepatutnya terhadap sindiket along.
“Kami minta pihak polis pandang serius isu along, saya juga ingin memuji pihak PDRM di Kelantan yang membuka semula kertas siasatan NFA (No Further Action) berkaitan pemberi pinjaman wang.
“Kami minta pihak polis bantu mangsa dengan cara siasat laporan mangsa-mangsa ini di bawah akta sepatutnya supaya sindiket along ini tidak sewenang-wenangya menipu mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














