fbpx
Rundingan diadakan antara guru dengan waris pelajar berkenaan semalam. - ANTARA

Waris lapor polis, berang guru nasihat anak bantu rakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Waris seorang pelajar di Tangerang Selatan, wilayah Banten membuat laporan polis ke atas seorang guru kerana didakwa mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati anaknya, lapor laman berita Detik semalam.

Dalam kejadian pada Ogos tahun lepas, guru tersebut dikatakan menasihati pelajar sekolah rendah itu agar membantu rakannya yang terjatuh ketika acara lumba lari.

Tidak dinyatakan kenyataan yang dikeluarkan guru tersebut, namun nasihat itu dianggap sebagai satu bentuk tindakan memarahi pelajar di hadapan rakan-rakannya. 

Ibu bapa pelajar tersebut kemudian melaporkan guru itu kepada Agensi Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-kanak serta Polis Tangerang Selatan, atas dakwaan melakukan kecaman lisan.

Ketua Perhubungan Awam Polis Tangerang Selatan, Inspektor Pertama Yudhi Susanto mengesahkan bahawa ibu bapa tersebut telah memfailkan laporan pada Disember 2025.

“Laporan polis itu telah didaftarkan dengan kami sejak Disember,” kata Yudhi ketika dihubungi kelmarin.

Yudhi menekankan bahawa tiada tindakan jenayah terhadap guru tersebut, manakala polis sedang menjalankan beberapa siri siasatan terhadap laporan itu.

Sementara itu, agensi berita ANTARA melaporkan, kesemua pihak terlibat telah bertemu semalam untuk proses rundingan.

“Pihak yang dilaporkan (guru) telah memohon maaf kepada kanak-kanak tersebut dan ibu bapanya atas kesedihan dan kekecewaan yang disebabkan oleh tindakan dan kata-katanya, tetapi niatnya adalah untuk kebaikan pelajar itu,” kata Ketua Polis Tangerang Selatan, Asisten Komisioner Boy Jumalolo.

Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jakarta, Pesuruhjaya Polis Kanan Budi Hermanto pula berkata, waris pelajar berkenaan menunggu guru tersebut menyampaikan permohonan maaf secara terbuka sejak tahun lepas.

“Namun, guru itu tidak menyampaikan permohonan maaf kepada pelajar tersebut.

“Kes ini masih didalami, dan kita berharap perkara-perkara seperti ini dapat diselesaikan antara pihak terlibat menggunakan budi bicara mereka,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN