fbpx
Ulama telah berijma’ bahawa khinzir adalah najis secara zatnya. - Gambar hiasan

Bolehkah guna bekas makanan pernah hidang khinzir?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APAKAH hukum menggunakan bekas makanan yang disangka pernah digunakan untuk makanan seperti khinzir?

JAWAPAN: PADA awalnya, kami bawakan di sini dalil serta pandangan ulama berkenaan kenajisan khinzir.

Ulama telah berijma’ bahawa khinzir adalah najis secara zatnya. Ini berdasarkan nas al-Quran.

Kesemua bahagian khinzir sama ada rambut, dagingnya, tulang, kulitnya adalah najis walaupun disembelih. (Lihat: Wahbah al-Zuhaili. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. jil. 1. hlm. 302).

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.” Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-An’am: 145)

Rasulullah SAW bersabda: “Untuk membersihkan bejana kamu apabila dijilat anjing hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali. Basuhan pertama hendaklah dengan air bercampur tanah.” (Riwayat Muslim, 279)

Hadis ini dinaskan kepada anjing dan yang semisal dengannya juga ialah khinzir, bahkan khinzir adalah lebih kuat kenajisannya. (Lihat: Muhamamd al-Zuhaili. Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie. jil. 1. hlm. 46)

Najis Aini ialah semua najis yang berjirim yang dapat dilihat atau mempunyai sifat zahir iaitu warna atau bau seperti tahi, kencing dan darah.

Najis Hukmi ialah semua najis yang telah kering dan kesannya telah hilang. Dengan kata lain, kesan warna atau bau najis tersebut tidak ada lagi.

Contohnya, baju yang terkena kencing kemudian ia kering dan kesannya tidak zahir lagi. (Lihat: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 40).

Khinzir dikategorikan sebagai najis mughallazah iaitu najis jenis yang berat iaitu anjing dan babi.

Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat adalah tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis ain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah.

Diqiaskan hukum babi kepada hukum anjing sebagai najis mughallazah kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing. (Lihat: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 40)

Berdasarkan naqalan daripada kitab-kitab di atas.

Maka menurut muktamad dalam mazhab Syafie bahawa khinzir terdiri daripada najis ‘ain dan perlu disamak sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya ialah dengan air tanah apabila terkena najisnya.

Adapun berkenaan, penggunaan bekas yang disangka pernah digunakan oleh orang bukan Islam untuk memakan makanan yang haram seperti khinzir.

Maka di dalam al-Fiqh al-Manhaji ada menyebut hukum seperti soalan di atas:

“Adalah harus menggunakan bekas orang kafir ini berdasarkan hadis daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Basuhlah bekas tersebut dan makanlah dengannya.” (Riwayat al-Bukhari, 5161)

Perintah membasuh bekas adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan sebagainya.

Demikian juga hukum menggunakan pakaian mereka dan seumpamanya sama dengan hukum menggunakan bekas mereka. (Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 37)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN