fbpx
HAMILTON

Hamilton belum puas uji jentera SF-26

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARCELONA – Lewis Hamilton mengakui masih belum ‘puas’ memacu jentera baharu Ferrari, SF-26 selepas penampilan sulungnya pada sesi ujian di Litar Barcelona-Catalunya awal pagi semalam terganggu akibat cuaca hujan.

Juara dunia tujuh kali itu menyifatkan sesi berkenaan sebagai baik, namun mahu menagih lebih banyak masa di atas litar kering bagi memahami potensi sebenar keseimbangan dan teknologi jentera 2026 tersebut.

Pada sesi hari kedua itu, rakan sepasukannya, Charles Leclerc sempat menguji jentera dalam keadaan kering pada sebelah pagi, namun hujan lebat memaksa Hamilton mengharungi debut rasminya dalam keadaan litar basah sepanjang petang.

Biarpun keadaan cuaca tidak menyebelahi pelumba Britain itu, Ferrari berjaya melengkapkan program dirancang tanpa masalah besar dengan catatan keseluruhan 120 pusingan, berbeza dengan Red Bull yang berdepan insiden kemalangan.

“Sangat mencabar kerana hujan bermula awal, jadi saya terpaksa fokus untuk memahami bagaimana tayar berfungsi dalam keadaan basah, namun ia tetap satu sesi yang sangat produktif,” kata Hamilton.

Bekas pelumba Mercedes itu turut memuji ketahanan jentera SF-26 yang disifatkannya cemerlang, memandangkan risiko kegagalan mekanikal biasanya tinggi ketika fasa awal perubahan besar-besaran peraturan bagi musim 2026.

Hamilton menjelaskan bahawa tiada isu besar yang timbul dan pasukan hanya perlu melihat kepada penambahbaikan kecil serta berharap dapat memacu jentera seperti itu pada sesi ujian seterusnya.

Fokus utamanya kini terarah kepada pemahaman elemen teknikal baharu seperti aerodinamik aktif ‘Straightline Mode’ (SM) dan pengurusan tenaga yang sukar dinilai sepenuhnya ketika litar basah.

Tambahnya, walaupun banyak kerja persiapan telah dilakukan menerusi sesi simulator, ujian di litar sebenar tetap kritikal untuk meneliti data dan mengoptimumkan prestasi jentera sebelum musim bermula. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI