KOTA BHARU – Tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat pengendali bas termasuk bas pelancongan yang yang beroperasi tanpa Peranti Had Kelajuan (SLD) selaras dengan pelaksanaan peraturan tersebut di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan tersebut dilaksanakan bermula selepas tempoh fasa pertama berakhir pada 31 Disember lalu.
Menurutnya, penguatkuasaan pemasangan SLD sudah dijalankan dan syarikat bas yang gagal mematuhi syarat tersebut akan dikenakan tindakan.
“SLB berfungsi mengehadkan kelajuan maksimum bas termasuk kadar kelajuan hanya 90 kilometer sejam sekali gus menghalang pemandu daripada memecut melebihi had yang ditetapkan.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas dalam usaha mengekang pemanduan berbahaya pemandu bas dan mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan kenderaan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST)-Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Anthony memberitahu, selain itu, kerajaan turut memperkukuhkan pemantauan pemandu melalui pembangunan pangkalan data pemandu bas oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menurutnya, sistem itu membolehkan syarikat pengendali menyemak rekod kesalahan lalu lintas dan status lesen pemandu sebelum mereka diambil bekerja. – KOSMO! ONLINE














