SEREMBAN – Seorang bekas ahli lembaga syarikat kilang memproses barangan elektronik terpakai (e-waste) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM50,000 kepada penjawat awam pada tahun lalu.
Tertuduh warga China, Jiang Fanjun, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah memberikan suapan iaitu wang tunai berjumlah RM50,000 kepada seorang lelaki yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar di Jabatan Alam Sekitar.
Ia sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang lelaki tempatan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu tidak mempunyai lesen premis yang ditetapkan dan kesalahan tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah.
Seterusnya, kesalahan tiada kelulusan laporan Environment Impact Assessment (EIA) dan kesalahan larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 1 tengah hari di Jalan Zamrud, Kawasan Perindustrian Nilai di sini pada 12 Februari 2025.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia berserta syarat tambahan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Mac depan bagi serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE.














