KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd. Razali Alias didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan dalam dolar Amerika Syarikat (AS), berjumlah AS$20,000 (RM78,650) serta menerima bayaran tiket kapal terbang ke luar negara bagi isterinya berjumlah RM64,600.
Bagaimanapun Mohd. Razali, 60, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Saya tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan,” Mohd. Razali.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Razali didakwa telah secara rasuah menerima baginya suatu suapan iaitu wang berjumlah AS$20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO Angkatan Tentera Malaysia (ATM), meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan.
Ia yang mana untuk tujuan pembayaran bagi Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem pPusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, di sini antara di antara bulan Ogos dan November 2024.
Justeru pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000.00 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga tertuduh didakwa sebagai jawatan sama telah menerima untuk isterinya dua benda berharga masing-masing pembayaran berjumlah RM26,800 dan RM37,800 bagi dua pembelian tiket penerbangan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol serta Kuala Lumpur dan Estonia tanpa balasan daripada lelaki sama iaitu merupakan pengarah sebuah syarikat yang tertuduh ketahui mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa di lakukan di tempat sama masing-masing pada 15 November 2024 dan 28 April 2025 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mac ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














