LONDON – Harga emas terus melonjak untuk mencapai penanda aras baharu hari ini, setelah mengatasi paras AS$5,200/auns (oz).
Setakat pukul enam petang, harga emas meningkat kepada AS$5,280/oz, bersamaan kira-kira RM672 segram, susulan peningkatan ketidakpastian global dan pergolakan yang dicetuskan oleh polisi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ketua Strategi Pelaburan di Wealth Club, Susannah Streeter berkata, penurunan dolar AS merupakan adalah sebahagian daripada cerita lonjakan harga emas semasa.
“Mata wang dolar telah terjejas apabila kebimbangan terus berlegar berkaitan kesan tarif, perbelanjaan kerajaan yang tinggi dan inflasi terhadap ekonomi AS, mendorong pelabur untuk mengkalibrasi semula pendedahan mereka kepada AS,” katanya.
Menurut penganalisis bebas, Stephen Innes, emas tidak naik semata-mata disebabkan ‘drama’ yang berlaku sehari-hari.
“Ia telah dinilai semula kerana pelabur secara perlahan-lahan mengkalibrasi semula kos kestabilan dalam dunia yang kini dilihat ‘tenggelam’ dengan hutang,” ujarnya.
Kebimbangan terhadap penutupan terbaharu kerajaan AS, serta ancaman Trump untuk mengenakan tarif 100 peratus kepada Kanada sekiranya negara jirannya itu memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan China membantu emas memulakan minggu ini dengan rekod baharu, kata penganalisis. – AFP














