KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) masih meneliti maklumat terperinci daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung status tujuh pemain warisan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, kelonggaran Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dengan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) perlu dihormati.
“Kita baru terima surat FIFA dan tiada banyak butiran, kita sedang membincangkan dengan FIFA untuk dapatkan maklumat-maklumat terperinci status pemain ini boleh beraksi untuk Malaysia atau tidak.
“Sebab utama adalah FIFA sudah buat keputusan berasingan dengan status perlawanan persahabatan, di situ berlaku percanggahan, Jadi kena lihat butiran terperinci terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM semalam.
Windsor sebelum itu menyertai Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memutuskan secara kolektif kesemuanya melepaskan jawatan serta merta.
“Namun, sebelum itu, satu pasukan khas AFC diketuai Vahid Kerdani (Timbalan Setiausaha Agung AFC) bersama konsultan akan membuat penilaian terperinci sebelum laporan akhir diserahkan kepada FAM.
“Matlamat kita untuk jadikan FAM satu persatuan yang lebih mantap sebelum kongres diadakan,” katanya.
Mengulas mengenai operasi FAM dalam tempoh interim ini, Windsor turut menjelaskan bahawa mandat penuh telah diberikan kepada Setiausaha Agung dan Bendahari FAM untuk menguruskan hal ehwal kewangan.
“Memandangkan Exco sudah tiada, prosedur (Statut FAM) membenarkan setiausaha agung dan bendahari menggalas tanggungjawab tersebut,” katanya.
Sebelum ini, CAS membenarkan penangguhan hukuman terhadap Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang digantung12 bulan selepas didapati bersalah memalsukan dokumen.
Windsor berkata, tanggungjawab kini terletak di bahu FAM khususnya berkaitan perlawanan antarabangsa termasuk aksi kelayakan Piala Asia menentang Vietnam di Pusat Sukan Thien Truong, Nam Dinh pada 31 Mac ini.
“CAS belum buat keputusan muktamad dan penangguhan pelaksanaan hukuman ini boleh dilihat seperti jaminan yang membolehkan pemain kembali bermain buat sementara waktu. CAS mungkin hanya akan keluarkan keputusan akhir pada Februari atau Mac,” kata Windsor.
Pada Disember lepas, FIFA menjatuhkan hukuman pemotongan mata terhadap Malaysia selepas mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa Tier 1.














