fbpx
MORDI (tengah) turut hadir menyambut ketibaan kontinjen para negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) semalam. - KBS

KBS giat pencarian bakat baharu atlet para

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kejayaan cemerlang kontinjen negara di Sukan Para ASEAN (APG) 2025 Korat, Thailand menjadi pemangkin terbaik dalam usaha menarik minat lebih ramai bakat muda menyertai sukan para.

Malaysia mencipta kejutan di Thailand apabila membawa pulang 64 pingat emas, melepasi sasaran 55 emas sekali gus dilihat mampu membuka mata golongan belia Orang Kurang Upaya (OKU) untuk terlibat dalam sukan.

Momentum positif itu penting bagi memastikan kesinambungan legasi jaguh atlet senior negara terus terpelihara dan memperkukuh program pembangunan pelapis menjelang temasya lebih besar seperti Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, momentum kejayaan di Thailand akan digunakan sepenuhnya untuk memperkukuh program skuad para negara sebagai persiapan ke Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Para Asia 2026.

Jelasnya, usaha pencarian bakat itu akan digerakkan secara lebih agresif dan menyeluruh menerusi kerjasama erat antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN).

“Satu pencapaian luar biasa, ini adalah pencapaian kedua terbaik Malaysia di luar negara dan syabas diucapkan. Ini merupakan persediaan penting untuk kita menghadapi cabaran tahun hadapan.

“Kita akan merancakkan lagi pencarian atlet muda di seluruh negeri di mana MSN akan memainkan peranan menggerakkannya melalui JBSN bagi mengenal pasti lebih ramai atlet berpotensi,” katanya.

Dalam pada itu, Mordi turut merakam penghargaan kepada MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) yang memainkan peranan penting memastikan kebajikan dan prestasi atlet berada pada tahap optimum sepanjang temasya berlangsung.

Pada APG 2025, Malaysia menutup kempen dengan kutipan 64 pingat emas, 64 perak dan 73 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 201 pingat.

Keberkesanan program pembangunan bakat muda turut terbukti apabila statistik menunjukkan 42 peratus dibarisi atlet berusia bawah 25 tahun, manakala 45 peratus lagi berusia bawah 39 tahun, menandakan Malaysia mempunyai pelapis yang sedia digilap. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI