fbpx
Gambar hiasan

Peraturan baharu cegah kenderaan asing beli RON95 bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan peraturan baharu di bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi melarang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan pendaftaran asing.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, larangan hanya terhad kepada penjualan petrol RON95 bersubsidi kepada kenderaan berpendaftaran asing.

“Maksudnya, larangan hanya kepada penjualan yang menyebabkan tindakan hanya akan diambil terhadap pengusaha stesen minyak, tetapi tidak kepada pemilik atau pembeli yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing.
“Melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kedua-dua pihak, stesen minyak dan juga pemilik atau pengguna kenderaan berpendaftaran asing,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai langkah komprehensif kerajaan bagi menjamin integriti serta keberkesanan pengurusan subsidi petrol.

Armizan berkata, usaha untuk memperkenalkan peraturan baharu tersebut kini di peringkat libat urus dengan semua pihak terlibat dan KPDN menyasarkan ia dapat dimuktamadkan dan dikuatkuasakan pada 1 April 2026.

Terdahulu, beliau berkata, KPDN terus memperkasa pemantauan serta penguatkuasaan subsidi petrol RON95 di peringkat runcit bagi memastikan penyaluran subsidi tepat kepada golongan sasar dan mengekang ketirisan.

Kata beliau, antara langkah dilaksanakan termasuk pemeriksaan berkala di stesen minyak bagi memastikan pematuhan mekanisme penggunaan kad pengenalan selain penguatkuasaan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.

Menurut beliau, KPDN turut menguatkuasakan kawalan pembelian petrol luar tangki dengan menghadkan penjualan tidak melebihi 20 liter tanpa permit khas serta melaksanakan pemantauan berkala melalui buku log dan peti lawatan di stesen minyak di kawasan sempadan.

Tambah beliau, KPDN menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu bersama pihak berkuasa lain dalam usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan.

Selain itu, katanya, pengauditan rantaian bekalan dilaksanakan melalui analisis corak jualan stesen minyak berisiko tinggi.

“Kerjasama strategik dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga digerakkan bagi menangani isu penyalahgunaan kad pengenalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI