PUTRAJAYA – Penggunaan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) dilihat mampu merevolusikan kaedah penguatkuasaan jalan raya tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada sekatan jalan raya fizikal.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dalam konteks ini, penguatkuasaan lazimnya dilaksanakan menerusi sekatan jalan raya secara fizikal yang mengecilkan lorong trafik, sekali gus mengakibatkan limpahan kenderaan selain masa menunggu lama.
“Jadi, sekarang saya mahu katakan bahawa paradigma atau pendekatan baharu kita mesti ke arah pengintegrasian data dan penggunaan teknologi ANPR.
“Ini kerana operator lebuh raya pun sudah memulakan proses ANPR mereka umpamanya pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan yang akan dimulakan tidak lama lagi, mereka pun ada bertemu dan maklum kita.
“Kalau sistem ANPR ini diintegrasikan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kita bukan sahaja boleh guna untuk kutipan tol tanpa henti, tetapi juga untuk penguatkuasaan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, integrasi data antara agensi kerajaan akan membolehkan semakan dilakukan hanya melalui kamera tanpa perlu menghentikan kenderaan terbabit di jalan raya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan itu selari dengan konsep ‘whole of government approach’ yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu keperluan memecahkan tembok silo antara kementerian dan agensi kerajaan.
“Bila ada integrasi, JPJ tak perlu lagi buat sekatan jalan raya semata-mata untuk memeriksa kenderaan. Semuanya boleh dikesan melalui sistem dan kamera ANPR,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Plus juga telah mengadakan perbincangan bersama JPJ berhubung pelaksanaan ANPR.
“Apabila Plus mulakan, saya yakin lebuh raya lain akan ikut. Walaupun hanya Plus sahaja, ia sudah cukup besar kerana melibatkan berjuta kenderaan setiap hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE














