KUALA LUMPUR – Aktiviti gelap sindiket dadah yang beroperasi di sebuah kondominium mewah akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu ‘makmal’ bersama bahan terlarang berjumlah hampir RM165,000 di Desa ParkCity, Kepong di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, serbuan pada pukul 9 malam, 22 Januari lalu itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul hasil maklumat risikan.
Katanya, sepasang suami isteri warga China berusia 46 dan 39 tahun. Pemeriksaan atas meja di ruang tamu menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi ketamin seberat 34.90 gram.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan makmal pemprosesan dadah lengkap dengan bahan kimia dan peralatan yang digunakan untuk memproses, membungkus dan menyimpan dadah bagi tujuan pengedaran.
“Antara dadah yang dirampas ialah ketamin seberat 1,878.90 gram, methamphetamine (380 gram), kokain (62 gram) serta serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (7,151 gram) yang disimpan dalam almari pakaian di bilik sama.
“Sebanyak 10 botol plastik berisi cecair MDMA, lima botol plastik tulisan Sodium Chloride, lima botol plastik bersaiz besar, empat botol plastik tulisan Bendosen, tiga tong plastik, dua botol kaca coklat, satu botol kaca lutsinar, satu botol plastik bertulisan air suling serta satu tong plastik besar dirampas,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sentul, di sini hari ini..
Menurutnya, anggaran berat keseluruhan cecair MDMA adalah 37,445 gram bernilai RM37,445 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM164,496.
Katanya, ujian air kencing mendapati suspek wanita positif amphetamine, ketamine dan methamphetamine.
“Siasatan awal mendapati sindiket aktif sejak tiga bulan lalu dan dipercayai menyewa kondominium sebanyak RM4,000 hingga RM6,000 sebulan untuk dijadikan lokasi memproses dadah,” katanya.
Kedua-dua suspek yang menganggur direman tujuh hari sehingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














