KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyelewengan dana masjid dan surau.
Baginda bertitah, wang masjid merupakan hasil sumbangan orang ramai dan milik umat Islam yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk kepentingan agama mengikut hukum syarak.
Titah baginda, pengurusan kewangan masjid dan surau perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, ketelusan dan penuh integriti.
“Beta tidak mahu agama Islam ini dipandang serong oleh penganut agama lain.
“Cukup-cukuplah kesucian agama Islam dicemari dengan kisah-kisah penyelewengan yang melibatkan orang Melayu Islam sehingga ada dalam kalangan mereka yang telah diheret ke mahkamah akibat amalan rasuah, penyelewengan wang dan salah guna kuasa,” titahnya.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada 850 orang nazir-nazir dan imam-imam masjid seluruh negeri Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menitahkan semua akaun masjid dan surau di negeri ini diurus mengikut peraturan serta prosedur ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Baginda turut mengarahkan supaya laporan kewangan dikemukakan kepada JAIS atau MAIS setiap empat bulan bagi memastikan tadbir urus, akauntabiliti serta kepercayaan awam sentiasa terpelihara.
Di samping itu, Sultan Sharafuddin menyeru para imam agar bukan sahaja mendalami ilmu agama, malah memiliki keupayaan mentadbir masjid dengan baik serta berperanan sebagai pemimpin masyarakat, pendamai dalam perselisihan dan penggerak perpaduan dalam kalangan ahli kariah.
“Amalkan semangat kesatuan, saling menghormati dan bekerjasama tanpa mengira kedudukan serta latar belakang jemaah. Imam juga perlu sentiasa bekerjasama dengan nazir serta ahli jawatankuasa masjid bagi melicinkan pengurusan,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan imam dan nazir supaya menjaga akhlak, imej serta keperibadian kerana mereka menjadi cerminan kepada institusi masjid.
“Jagalah nama baik masjid dan surau. Jangan disebabkan kesalahan seorang individu, keseluruhan institusi dipandang serong, ibarat peribahasa Melayu kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit,” titah baginda.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Khutbah di bawah MAIS atas kejayaan menyediakan teks khutbah Jumaat yang berkualiti, bernas serta seiring dengan perkembangan semasa.
“Khutbah yang baik marnpu menggantikan seorang khalifah bagi menyampaikan amanat penting dalam membentuk pemikiran, akhlak dan amalan agama Islam yang sebenarnya secara berkesan kepada umat Islam. Teruskanlah usaha murni ini demi manfaat ummah,” tegas baginda.
Baginda turut menyuarakan rasa bangga terhadap pencapaian Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang berjaya menarik lebih 100,000 pelawat termasuk dari dalam dan luar negara sepanjang tahun 2025.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa masjid bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah, dakwah dan pendidikan, malah boleh juga menjadi tarikan destinasi ikonik pelancongan Islam negara termasuk kepada pelancong bukan Islam.
“Beta menggalakkan masjid-masjid lain mengambil inisiatif serupa untuk mempromosikan institusi masing-masing secara berhemah dan tersusun selaras dengan peranan masjid sebagai mercu tanda kebanggaan umat Islam khususnya di Selangor,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE














