fbpx
Anggota bomba memeriksa rumah yang hangus terbakar mengorbankan Shafie di Kampung Pak Tuyu, Kuala Nerus semalam. IHSAN JBPM

Buruh binaan rentung, terperangkap rumah pusaka terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Tindakan nekad seorang buruh binaan meredah rumah pusakanya yang sedang marak terbakar berakhir tragedi apabila dia diperangkap di dalam kediaman tersebut di Kampung Pak Tuyu, di sini, malam tadi.

Mayat Shafie Awang @ Abd. Rahman, 49, ditemukan rentung di dalam rumah pusakanya yang hangus terbakar pada pukul 7.30 malam.

Abang mangsa, Mohamad, 56, berkata, dia yang menetap di Kampung Batin, Seberang Takir di sini bergegas ke lokasi kejadian sebaik diberitahu tentang kebakaran tersebut pada pukul 8 malam.
“Saya diberitahu penduduk kampung, adik saya (Shafie) yang pulang dari tempat kerja terkejut melihat rumah pusaka keluarga kami sedang terbakar.

“Dia yang panik dikatakan telah meredah masuk ke dalam rumah dipercayai bagi mengambil kunci motosikal untuk mengalihkannya ke tempat selamat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kebakaran tersebut pukul 7.37 malam.

“Api kebakaran berjaya dikawal pukul 8.02 malam. Mayat mangsa (Shafie) yang ditemukan di hadapan rumah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI