fbpx
Sebahagian ubat tradisional Cina tidak berdaftar dan bahan mentah yang dirampas di Gurun, semalam.

Premis ubat tradisional Cina digempur, rampasan RM13.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) merampas sejumlah ubat tradisional Cina keluaran tempatan yang tidak berdaftar bersama bahan mentah dan barangan lain bernilai RM13.4 juta di Gurun, semalam.

Rampasan itu dilakukan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKNK hasil pemeriksaan ke atas 11 premis.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Aishah Abu Bakar berkata, hasil tindakan tersebut menyaksikan sebanyak 227 perkara atau jenis item dirampas merangkumi produk, bahan mentah, peranti, mesin dan dokumen.

“Produk-produk itu merupakan ubat tradisional Cina keluaran tempatan yang tidak berdaftar dan disyaki mengandungi bahan terlarang seperti steroid, allopurinol serta bahan lain yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952.

“Turut dirampas tiga peranti digital serta tiga unit mesin pengilangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, kesalahan itu melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 selain Akta Racun 1952.

Katanya, tindakan penguatkuasaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CPF Kedah dalam membanteras penjualan dan pengedaran produk kesihatan tidak sah di pasaran tempatan.

“Operasi ini turut melibatkan kolaborasi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa CPF negeri lain iaitu Perlis, Perak, Selangor, Terengganu dan Kelantan.

“Tindakan ini juga merupakan satu bentuk intervensi kesihatan awam yang kritikal dalam usaha melindungi rakyat daripada risiko kesihatan serius akibat penggunaan produk kesihatan yang tidak sah, tidak berkualiti dan berbahaya,” ujarnya.

Tambahnya, KKM turut memperkukuh intervensi pendidikan dan advokasi awam menerusi kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko penggunaan produk kesihatan yang menyalahi undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI