KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan harga barang di pasaran secara keseluruhan adalah terkawal walau berlaku sedikit kenaikan.
Menurut beliau, langkah kerajaan bagi menangani isu kenaikan harga barang antaranya melalui suntikan dana termasuk melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara)
“Harga barang memang ada kenaikannya sedikit, tapi kalau kita lihat keseluruhannya, ada peningkatan yang terkawal dan bagaimana kita nak ukur? Kita ukur ketimbang perkembangan di
semua negara, dengan negara jiran.
“Kalau berlaku sedikit kenaikan yang harus diambil tindakan adalah oleh kerajaan, umpamanya melalui beberapa suntikan dana. Ada yang anggap campur tangan (kerajaan) untuk mengurangkan tekanan harga barang, (namun) itu kita akan lakukan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung kaitan pengukuhan nilai ringgit dengan harga barang di pasaran.
Terdahulu, Anwar berkata, pengukuhan nilai ringgit ketika ini selepas melemah sekian lama menunjukkan keyakinan terhadap sistem ekonomi negara, namun ia harus dilihat seiring dengan peningkatan pelaburan, pendapatan dan pengurangan pengangguran.
Jelas beliau, perkara itu bermakna angka-angka ekonomi keseluruhan menunjukkan petanda positif dan sekaligus berjaya memperkukuh kedudukan serta kekuatan ringgit.
“Namun, saya setuju bahawa sebaiknya, jika ada pilihan, ringgit harus mengukuh secara berhemah dan perlahan. Tetapi keadaan ini kadang-kadang di luar jangkaan kerana keyakinan pelabur tidak dapat dikawal sepenuhnya,” katanya.
Menurut beliau, perkara kedua yang perlu diberi perhatian adalah langkah-langkah domestik bagi memastikan dasar dan kerangka ekonomi dapat dikawal termasuk menjaga keupayaan mengurangkan defisit serta mengawal dan terus menarik pelaburan yang kini sedang dilaksanakan.
Beliau berkata, setakat ini kekuatan ringgit tidak memberi kesan yang terlalu menjejaskan, namun dalam keadaan biasa, pengukuhan ringgit mempunyai kesan positif dan juga sedikit kebimbangan kerana ia berkait dengan eksport dan import barangan.
Bagaimanapun, kata beliau, secara keseluruhan, tiada negara yang mahu nilai mata wangnya merosot dan berada pada tahap rendah di luar kekuatan yang sepatutnya dipertahankan. – KOSMO! ONLINE














