fbpx
Antara PATI yang ditahan menyorok di ruangan khas bot pom-pom yang ingin keluar dari negara ini secara tidak sah. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

PATI Indonesia bayar RM2,000 masuk, keluar Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Hasrat 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk memasuki dan keluar dari negara ini secara tidak sah terbantut selepas mereka ditahan di perairan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, di sini semalam.

Kesemua PATI berusia tiga bulan hingga 64 tahun itu ditahan secara berasingan pada pukul 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada jarak setengah batu nautika. Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 46 dan 49 tahun selain dua tekong serta dua awak-awak.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan ke atas PATI yang menaiki bot fiber untuk memasuki negara ini dan bot pom-pom bagi keluar melalui laluan tidak diwartakan.

Menurutnya, siasatan mendapati setiap PATI membayar antara RM1,500 hingga RM2,000 bergantung kepada lokasi penghantaran.

“Seramai 26 PATI dan dua lelaki tempatan berlepas dari Tanjung Balai, Indonesia, manakala 24 lagi PATI dari sekitar Bagan Nakhoda Omar. Kesemua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya rata-rata PATI pulang secara haram ke kampung mereka kerana menyangka operasi kurang berbanding Ramadan atau menjelang Aidilfitri.

Selain itu, ia berkemungkinan didorong tiada dokumen atau disenarai hitam oleh pihak berkuasa.

“Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun memasuki negara ini selepas bertemu isteri keduanya di Medan manakala seorang lagi lelaki diragui kesahihan kewarganeraannya kerana tiada MyKad, namun mengaku memiliki sijil lahir,” katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan sama ada kedua-dua aktiviti penyeludupan tersebut didalangi sindiket sama.

“Kita percaya wujudnya kapal induk di tengah laut yang digunakan sindiket untuk operasi pemindahan dan menghantar PATI. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” ujarnya.

Tambanya, ini merupakan tangkapan ketiga pada bulan ini dengan jumlah keseluruhan lebih 100 PATI. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI