fbpx
Gambar hiasan

Perkenal diri ‘pegawai imigresen’ sebelum geledah rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Polis menumpaskan sekumpulan penjenayah yang aktif menyamun warga asing dengan menyamar sebagai pegawai imigresen selepas memberkas dua lelaki tempatan di Lembah Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Superintendan Helmi Aris berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 32 dan 38 tahun itu dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Jalil dan Ampang pada 18 Januari lalu.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Ladang Chip Joo, Bukit Tengah pada pukul 10.30 pagi, 13 Januari lalu.

“Mangsa warga Myanmar berusia 44 tahun memaklumkan enam lelaki berpakaian gelap dan berpelitup muka yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 berhenti di kawasan rumahnya.

“Lima suspek kemudian masuk ke dalam rumah mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen. Kumpulan itu mengacu sebilah parang dan menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan pelbagai barangan termasuk barang kemas, wang dan telefon bimbit bernilai RM4,000,” katanya hari ini.

Polis merampas SUV Proton X70 berwarna putih dipercayai digunakan ketika kejadian dan beberapa buah telefon bimbit serta pakaian. Semakan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah dan dadah.

Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine. Mereka ditahan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. Kedua-dua lelaki itu dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 28 Januari ini.

Polis kini giat mengesan empat lagi suspek yang masih bebas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN