KLANG – Rahsia perkahwinan kedua seorang pemandu lori yang disimpan selama setahun akhirnya terbongkar selepas dia ditahan ketika cuba memasuki negara ini menggunakan laluan tidak sah, semalam.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam bersama 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam sebuah bot fiber di kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika dari perairan Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
Menurut lelaki berasal dari Perak itu, dia mengenali isteri keduanya yang berasal dari Medan, Indonesia selepas kerap menghantar barangan ke sebuah pusat servis kenderaan di Rawang.
Katanya, wanita berusia 49 tahun itu bekerja sebagai pekerja kantin di pusat servis berkenaan.
“Saya pulang sebab rindu, lagipun isteri hamil lima bulan anak pertama. Saya menghabiskan masa selama lima hari dengan isteri kedua. Isteri pertama berusia 47 tahun dan memang tidak mengetahui perkahwinan ini,” katanya ketika ditemui di Pejabat Maritim Selangor di sini hari ini.
Menurutnya, ini kali pertama dia menggunakan laluan tidak diwartakan dengan bantuan sindiket bagi perjalanan ulang alik pada kadar bayaran keseluruhan RM2,200.
“Sebelum ini saya guna laluan sah, tetapi kali ini terpaksa guna laluan belakang sebab pasport dipegang isteri pertama,” katanya.
Tambahnya, isteri pertama juga berasal dari Medan dan mereka mempunyai empat orang anak.
“Kedua-dua isteri saya dari satu pekan tetapi berlainan kampung. Memang risau sebab rahsia sudah bocor,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lelaki warga Aceh berusia 32 tahun memaklumkan terpaksa menggunakan laluan belakang selepas pasportnya tidak diperbaharui untuk pulang bersama bayi perempuan berusia tiga bulan.
“Saya baharu ditinggalkan isteri sejak seminggu lalu. Semasa kejadian, saya baru pulang dari kerja dan anak ditinggalkan keseorangan sambil menangis. Di samping bayi itu ditinggalkan nota oleh isteri berbunyi ‘Kalau tidak mahu jaga anak, bagi kepada keluarga’,” jelasnya.
Bercerita lanjut, lelaki dikenali sebagai Raja itu berkata, dia dan isterinya sudah berada di negara ini sejak empat tahun lalu dengan bekerja sebagai pencuci kereta manakala isterinya sebagai pekerja salon.
“Kami tinggal di Gombak dan anak sulung dilahirkan di sebuah klinik swasta di Taman Melawati. Saya telefon isteri namun nombor saya kena ‘block’.
“Memang diakui tertekan dan tidak tahu apa sebelum nekad pulang ke kampung guna laluan belakang. Saya bayar RM1,400 kepada sindiket yang dikenali melalui aplikasi TikTok. Sepanjang perjalanan saya mendukung bayi selain membawa kelengkapan termasuk susu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














