fbpx
Kawasan pesisir pantai peranginan di Batu Feringghi, Pulau Pinang kini diancam hakisan pantai yang semakin teruk.

JPS tangani segera hakisan di Pantai Tanjong Bungah, Batu Ferringhi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan tindakan mitigasi jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani isu hakisan yang berlaku di sepanjang pesisir pantai Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi, di sini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, isu berkenaan telah tular di media sosial dan menjadi perhatian serius kerana memberi kesan kepada keindahan pantai, keselamatan pengunjung serta aktiviti pelancongan termasuk sukan pantai.

Menurutnya, kawasan pantai Batu Ferringhi dan Tanjong Bungah merupakan antara destinasi pelancongan utama negeri ini dan sebarang kerosakan pantai boleh menjejaskan imej serta daya tarikan Pulau Pinang sebagai lokasi pelancongan antarabangsa.

Zairil berkata, walaupun hakisan pantai di Batu Ferringhi merupakan kejadian alam yang berlaku setiap tahun akibat Monsun Timur Laut, namun tahap hakisan yang berlaku pada tahun ini didapati lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Susulan itu, JPS kini sedang mengenal pasti faktor sebenar yang menyumbang kepada peningkatan tahap hakisan pantai supaya langkah mitigasi yang dilaksanakan nanti lebih berkesan dan bersasar,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Zairil, bagi kawasan pesisir pantai Tanjong Bungah yang melibatkan Pantai Hotel Mercure, Skyhome Apartment dan Chinese Swimming Club, JPS telah menyiapkan laporan teknikal berhubung hakisan pantai tersebut.

Katanya, laporan berkenaan menjadi asas kepada usaha memohon peruntukan bagi melaksanakan tindakan mitigasi segera bagi mengurangkan risiko keselamatan serta kerosakan yang berterusan di kawasan terlibat.

Sementara itu, katanya, bagi kawasan pesisir pantai Batu Ferringhi yang melibatkan Hotel Bayview, Lone Pine, Golden Sands dan Shangri-La, JPS akan melaksanakan mitigasi jangka pendek melalui penambahan sandbag sebagai langkah sementara mengekang hakisan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, JPS telah memohon peruntukan bagi tahun 2026 melalui kerajaan persekutuan sebagai usaha mengurangkan kesan hakisan di beberapa lokasi pantai yang dikenal pasti terjejas.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan persekutuan telah meluluskan Projek Pembinaan Outfall dan Struktur Mencegah Hakisan Pantai dengan peruntukan RM61 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Rolling Plan 5 (RP5),” katanya.

Jelas Zairil, kerja-kerja ukur hidrografi bagi projek tersebut telah siap dilaksanakan pada Disember 2025 dan pelaksanaan kerja fizikal akan dimulakan selepas pelan reka bentuk terperinci disiapkan sepenuhnya.

Tambah beliau, JPS juga sedang melaksanakan Kajian Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Pulau Pinang (ISMP) yang dijangka siap pada suku ketiga 2027 bagi memastikan perancangan pencegahan hakisan pantai dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, berperingkat dan menyeluruh. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN