PERNAH wujud, namun kemudian senyap tanpa khabar dan hampir terkubur ditelan masa, kumpulan Mystika memilih untuk bangkit semula dengan nafas baharu, susunan anggota berbeza serta hala tuju muzik yang lebih matang.
Ditubuhkan sejak 2018, Mystika yang dianggotai Ijam, Am dan Ayen melalui fasa penjenamaan semula sepenuhnya pada 2023 selepas sekian lama ‘terbiar’ tanpa bergerak aktif.
Bagi mereka, keputusan tersebut bukan sekadar perubahan nama atau barisan anggota, sebaliknya usaha menghidupkan kembali sebuah entiti muzik yang enggan dibiarkan mati sebelum sempat diuji.
Menurut vokalisnya Ijam, kebangkitan semula Mystika didorong keinginan untuk mencuba konsep muzik yang lebih segar dan berbeza berbanding sebelum ini.
“Dulu konsep lain, sekarang kami cuba tukar konsep berbeza. Benda (kumpulan) ini dah lama terbiar, kami tak nak terkubur begitu sahaja.
“Masing-masing sebenarnya ada pengalaman sendiri dalam muzik cuma kami tak bersatu dari segi hala tuju. Jadi, bila kami duduk bawah satu bumbung dalam Mystika ini, semua boleh keluarkan idea dan pengalaman untuk disatukan.
“Sebelum ini kami ada ruang dan laluan masing-masing. Ijam dan Am banyak terlibat dengan projek muzik di tempat lain. Dalam Mystika, kami jadi satu pasukan.
“Kami cuma cuba rezeki masing-masing dan nak tengok sejauh mana konsep baharu ini boleh pergi,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Namun, menghidupkan kembali sebuah kumpulan bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi apabila mereka memilih untuk bergerak secara independen tanpa naungan mana-mana syarikat rakaman.
“Band sebenarnya banyak dekat Malaysia tapi yang benar-benar mampu tembus ke arus perdana tak ramai.
“Jadi, kami cuba nasib saja sebenarnya. Peluang memang ada, tetapi semuanya menggunakan modal kami sendiri kerana Mystika tidak bernaung di bawah mana-mana label.
“Di situlah cabarannya sebagai band indie. Ramai artis di luar sana, sama ada solo atau kumpulan, memilih untuk bergerak sendiri. Cuma bezanya, sekarang platform untuk berkarya memang lebih luas,” jelasnya.
Berdepan kesukaran menembusi pasaran dan mencari pendengar baharu, Ijam berkata, usaha promosi kini menjadi tanggungjawab sepenuhnya di bahu mereka.
“Agak sukar (cari pendengar) sebab kalau bawah label, mungkin dah ada strategi lebih-lebih lagi kami masih baharu.
“Orang pun tak tahu Mystika, jadi kami kena gerak lebih sikit. Maksudnya kena banyakkan masa untuk cari mana peluang untuk kami promosikan band.
“Buat masa ini, kami manfaatkan media sosial, cuba bagi pendengar dengar lagu kami dalam TikTok,” luahnya.
Masa Lalu
Sebagai pembuka tirai kebangkitan semula Mystika, kumpulan itu tampil dengan single pertama berjudul Masa Lalu yang dilancarkan pada 26 Disember lalu.
“Kami baru sahaja lancarkan single terbaharu pada 26 Disember lalu bertajuk Masa Lalu dengan konsep alternatif rock.
“Masa Lalu mengisahkan tentang peristiwa yang dah lepas tapi sampai sekarang kita masih tak boleh ‘move on’ dan teringkatkan seseorang. Lagu tersebut ciptaan kami bersama cuma lirik saya sahaja yang buat,” katanya.
Tidak mahu terburu-buru, Mystika merancang untuk memberi fokus penuh kepada single sulung itu sebelum memperkenalkan karya seterusnya.
“Ada tiga buah lagu lagi kami akan lancarkan untuk tahun ini. Kami mula aktif balik selepas raya.
“Untuk masa terdekat ini, kami akan cuba buat video muzik bagi Masa Lalu sebab sekarang cuma lancarkan video lirik sahaja,” tutupnya.














