SEREMBAN – Isu penentuan sempadan kawasan Indonesia di Kalimantan Utara termasuk melibatkan tiga buah kampung akan dibawa rundingan pemimpin kedua – dua negara sebelum sebarang pengesahan lanjut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, proses perundingan masih berjalan dan belum dimuktamadkan dengan mengambil kira perbezaan antara sempadan yang digariskan di atas peta dengan realiti sebenar di lapangan.
Menurut beliau, garis sempadan di peta lazimnya dilukis secara lurus berdasarkan perjanjian dan undang-undang, namun keadaan sebenar di kawasan sempadan sering berbeza kerana kewujudan penempatan penduduk yang telah lama diterokai.
“Apa yang ada di atas peta dan apa yang berlaku di bawah (on the ground) adalah berbeza. Realiti di lapangan perlu diambil kira. Belumlah lagi kita putuskan,” katanya ketika ditemui pada Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media yang mendakwa peta sempadan Malaysia–Indonesia mengalami perubahan susulan penyelesaian Outstanding Boundary Problems (OBP) sehingga menyaksikan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara, kini secara rasmi berada dalam wilayah kedaulatan Malaysia.
Beliau berkata, satu jawatankuasa teknikal akan menjalankan kajian terperinci sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan. – KOSMO! ONLINE














