fbpx
Dr. Liew Wai Loan menyampaikan taklimat pada Dialog Laporan Kelestarian PKS di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

ESG beri manfaat perniagaan kepada PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Laporan berhubung alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) amat penting untuk fasa pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana ia menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif untuk menilai trend, amalan dan tahap penerapannya.

Ia juga akan melibatkan empat sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian.

Presiden International Green Technologies Research & Development Institute (IGTI), Dr Liew Wai Loan berkata, penerapan ESG dalam pengoperasian PKS akan dapat memberi kelebihan dalam pelbagai industri termasuk servis.

“Usaha itu juga akan memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan dan memberikan panduan praktikal langkah demi langkah untuk pelaksanaan ESG kepada kumpulan perniagaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Dialog Laporan Kelestarian PKS yang berlangsung di Bursa Malaysia baru-baru ini.

Dialog Laporan Kelestarian PKS yang dianjurkan oleh IGTI dengan kerjasama Bursa Malaysia dan Majlis Pembangunan ESG Negara itu adalah sesi dialog yang diadakan untuk menyokong PKS, pemain industri dan persatuan perniagaan dalam memperkukuh tahap kesiapsiagaan ESG serta keupayaan pelaporan.

Majlis turut diserikan lagi dengan penyertaan panel, Penaung Majlis Pembangunan ESG Negara, Prof. Datuk Dr. GP Doraisamy.

Selain itu, majlis tersebut mendapat sokongan daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, The Federation of Malaysian Manufacturing Malaysia Retailers Association (MRA), Persatuan SME Malaysia, Worldwide Consumers’ Association danChina Certification & Inspection Group (CCIC).

Selain itu, Wai Loan yang juga pensyarah kanan daripada Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerangkan, IGTI kini terbuka kepada PKS untuk mengintegrasikan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus ke dalam operasi perniagaan yang penting untuk kecekapan kos, reputasi, dan daya tahan dan kini lebih mudah dengan panduan mudah serta sokongan kerajaan untuk mengatasi halangan kewangan dan kapasiti.

“Cabaran besar masih wujud untuk menggalakkan lebih banyak PKS beralih daripada penerapan separa atau tidak menerap langsung kepada integrasi ESG yang menyeluruh.

“Menutup jurang ini adalah penting bagi memastikan ESG tidak terhad kepada kumpulan penerap awal sahaja,” ujarnya.

Tambah beliau, meskipun berdepan pelbagai cabaran, ESG tidak seharusnya dilihat semata-mata untuk mematuhi kepada prosedur yang ditetapkan tetapi bagi PKS, ESG boleh memberikan manfaat perniagaan yang nyata jika dilaksanakan secara pragmatik.

“PKS yang menerap ESG sering menikmati penjimatan kos melalui kecekapan tenaga yang lebih baik, pengurusan sisa yang berkesan dan proses operasi yang lebih tersusun” jelasnya.

Majlis dialog turut disempurnakan dengan barisan speaker antaranya iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Bangunan Hijau Malaysia, Mitch Gelber; Exco NESGDC merangkap Pengarah Eco Centrique Sdn Bhd, Tina Lu Ting Chih; Timbalan Pengarah Perancangan Strategik & Timbalan Ketua Kelestarian Matrade; Edison Choong dan Pengarah Penyelidikan & Pembangunan dan Kelestarian Saint Gobain, Ng Kah Seng.

Sementara itu, IGTI yang dilantik sebagai rakan panel penyelesaian CSI oleh Bursa Malaysia komited untuk memperkukuh daya saing perniagaan, khususnya PKS dalam memenuhi keperluan kelestarian serta ESG.

Melalui latihan praktikal, bimbingan pakar dan penyelesaian inovatif, IGTI menyokong usaha PKS untuk beralih kepada platform penyelesaian CSI iaitu sebuah inisiatif strategik yang dibangunkan bagi membantu perniagaan.

Inisiatif tersebut adalah untuk mengukur dan mengurus pelepasan karbon, memperkemaskan laporan ESG dan kelestarian serta memastikan pematuhan terhadap piawaian ESG Bursa Malaysia

Melalui sokongan ini, IGTI berperanan sebagai rakan strategik dalam memperkasa agenda kelestarian nasional, sekali gus membantu perniagaan tempatan mencapai pertumbuhan mampan dan berdaya tahan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN