PADANG BESAR – Cubaan seorang lelaki memecut kenderaan bagi mengelak ditahan tidak berhasil apabila dia dan teman wanitanya ditahan bersama 1.02 kilogram (kg) ganja kelmarin.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, hasil maklumat risikan, sepasukan anggota mengesan kereta jenis Honda City dalam keadaan mencurigakan di kawasan lampu isyarat tapak perindustrian Padang Besar menghala ke Kangar pada pukul 7.20 malam.
“Anggota polis mengekori kereta itu dan mengarahkan pemandunya supaya berhenti, namun suspek enggan memberi kerjasama dan memecut laju. Suspek bagaimanapun ditahan dalam sekatan jalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kilometer 27, Sungai Chuchuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kereta itu dipandu lelaki tempatan berusia 20 tahun, manakala penumpang wanita berusia 22 tahun dipercayai teman wanitanya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu menjumpai ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 1,022 gram bernilai RM3,000,” ujarnya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki warga asing dengan upah RM100 bagi 1,000 gram untuk dihantar ke lokasi ditetapkan.
Tambahnya, saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan memiliki tiga rekod kes dadah. Pasangan itu direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














